Saturday, March 20, 2010

Sinopsis Novel BM Tingkatan 1 - HIKMAH
Penulis : Mohd.Faris Ikmal
Bab 6 : Mengenakan Sapura

Sinopsis:

Loceng telah berbunyi, Sapura ternampak akan Amri sedang berdiri berdekatan dengan basikalnya. Dia berpura-pura tidak melihat Amri lalu berfikir bahawa Amri hendak mengenakannya. Dia berjalan ke arah basikalnya lalu bertanyakan sebab dia berdiri di situ. Amri memberitahu bahawa basikalnya bersebelahan dengan basikal Sapura. Sebenarnya, Amri hendak meminta maaf kepada Sapura kerana berbohong. Akhirnya, Sapura memaafkan Amri. Amri turut mengayuh basikalnya beriringan dengan Sapura. Sapura memberikan peluang kepada Amri untuk menebus kesilapannya.
Dalam perjalanan, dia bertanyakan beberapa soalan kepada Amri tetapi Amri masih membisu. Tiba-tiba Amri membrek menyebabkan Sapura gagal mengawal basikalnya. Dia tergolek ke dalam bendang yang berlumpur. Ketika itulah Amri memberikan jawapannya! Sapura begitu geram memikirkan kejadian yang sudah berlaku. Seterusnya, Sapura mengangkat basikalnya yang terbenam lalu membuang lumpur yang melekat pada basikalnya. Sepanjang jalan balik ke rumahnya, Sapura membebel dan menarahi dirinya. Dia benar-benar geram.

Kosa Kata / Maksud:

1. Berpura-pura - Berbuat seakan-akan, berlagak
2. Mengenakan - Menyebabkan kena, menghalakan supaya kena.
3. Menebus - Membuat jasa untuk menghapuskan kesalahan
4. Tergolek - Jatuh terguling, terguling
5. Lumpur - Becak, selut
6. Melekat - Tidak tanggal atau lekang, kekal, tersemat
7. Membebel - Berleter, mengomel
8. Menarahi - Melicinkan atau meratakan dengan rimbas
9. Geram - Gemas, marah
10. Miring - Hilang akal

Hasil Kerja : Tan Jia Meng, SMK Methodist, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Membaca Jambatan Ilmu


Slogan “Membaca Jambatan Ilmu” sering kali kita gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam usaha kita mencari ilmu pengetahuan. Membaca merupakan antara kegiatan yang amat penting dalam kehidupan manusia di samping mampu membangunkan dan memajukan sesuatu masyarakat.

Insan yang berbudaya membaca merupakan manusia yang berilmu. Minat membaca berkait rapat dengan budaya ilmu kerana minat ini mampu melonjakkan pembangunan dan kemajuan dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang berorientasikan sains dan teknologi.

Amalan membaca perlu dijadikan suatu budaya dalam kehidupan masyarakat kita. Budaya ini pula tidak seharusnya terbatas di sekolah, kolej atau universiti semata-mata tetapi juga patut dikembangluaskan dalam kehidupan masyarakat termasuklah masyarakat di luar bandar. Hal ini penting agar masyarakat luar bandar yang sering dikaitkan seperti katak di bawah tempurung akan dapat menimba dan menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman agar mereka tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dan pembangunan global.

Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak berdaya tahan sekiranya ketandusan atau kemunduran dalam buana ilmu yang bermutu dan mutakhir. Sebaliknya, masyarakat yang ketinggalan atau yang mengabaikan budaya ilmu akan bergantung harap kepada orang atau bangsa lain yang berilmu dan cendekia. Buktinya kita dapat melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negara masing-masing kepada negara lain yang lebih maju dan dominan dalam bidang keilmuan dan kepakaran.

Akhir kata, ingin saya tegaskan bahawa kehidupan yang lebih sempurna akan dapat dibentuk sekiranya masyarakat kita membudayakan amalan membaca dalam kehidupan mereka sehari-hari. Amalan murni ini secara langsung akan melahirkan modal insan dan masyarakat Malaysia yang berilmu, berwawasan dan bertamadun tinggi.

Hasil Kerja: Tan Jia Meng, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.